Sunday 4 August 2013

INDAHNYA PERSAHABATAN KERANA ALLAH 
Oleh: Mohamad Izwan bin Zainal Abidin

Seorang yang bernama manusia, sudah pasti memerlukan sahabat untuk berkongsi masalah, berkongsi suka dan duka, berkongsi perasaan pahit dan manis. Manusia sangat memerlukan seorang sahabat disisi. Allah telah mengurniakan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wa sallam seorang sahabat sejati, yang membenarkan kata-kata baginda pada saat ramai orang mendustakannya. Abu Bakar merupakan sahabat yang pertama membenarkan kata-kata baginda. Namun, dalam persahabatan, kita amat memerlukan persahabatan yang sejati, iaitu persahabatan yang ikhlas kerana Allah.  Lihat sahaja Nabi Musa, beliau pernah berdoa kepada Allah agar nabi Harun dijadikan teman seperjuangan dalam berdakwah, Lalu, Allah memakbulkan doa Nabi Musa.

Hari ini, ramai manusia yang terlupa tentang makna persahabatan yang sebenar. Ada dalam kalangan mereka yang memahami persahabatan hanya setakat di dunia sahaja, ada pula mereka yang bersahabat kerana harta dan wang ringgit, ada yang bersahabat kerana jawatan dan pangkat, tidak lupa bagi para mahasiswa, mereka bersahabat hanya kerana assignment dan peperiksaan semata-mata. Persahabatan ini tidak akan kekal lama. Nilailah kembali mengapa Allah menyuruh seorang hambanya memilih sahabat. Teliti kembali saranan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wa sallam supaya memilih sahabat karib itu daripada kalangan orang yang baik dan soleh.

Kata Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wa sallam:

لا تصاحب الا مؤمنا ولا ياكل طعامك الا تقى

Maksudnya: “Jangan kamu mengambil teman kecuali yang mukmin dan jangan memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.

(HR At-Tirmizi (2395), Abu Dawud (4834) dan dihasankan oleh Al-Albani dalam shahih al-Jami’ (7341).


Rasulullah sangat menitik beratkan seseorang agar memilih sahabat yang baik. Hal ini kerana seorang sahabat yang baik memberi PENGARUH yang besar kepada seseorang sahabatnya yang lain. Bahkan, seorang sahabat yang baik merupakan ‘satu anugerah’ bagi sesiapa yang memperolehnya.

Ayyub as-Sakhtiyaani rahimahullah berkata:

ان من سعادة الحدث والاعجمي ان بوفقهما الله لعالم من اهل السنة

Terjemahan: “Sesungguhnya salah satu tanda kebahagiaan seorang pemuda dan seorang ajam adalah Allah memberinya taufik kepada seorang alim dari kalangan Ahlus Sunnah.”

Seorang sahabat yang baik juga merupakan cerminan bagi dirinya. Setiap perkataan, tingkah laku, perbuatan mahupun minat sudah pasti akan sama. Cuba anda lihat sahabat baik anda, pernahkah anda terfikir bahawa sahabat anda banyak memperngaruhi anda? Sekiranya sahabat anda seorang yang rajin, sudah pasti anda juga akan ‘terkena tempias’ untuk menajadi rajin, sekiranya anda suka memakai pakian yang berstyle, sudah pasti sahabat anda juga yang tidak pandai bergaya, akan mengikuti anda dalam hal tersebut. Hal ini akan terjadi secara ‘automatik’ tanpa kita sedari.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

فان الناس كاسراب القطا, محبولون على تشبه بعضهم ببعض

Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu seperti sekawanan burung, selalu tertarik untuk saling meniru satu sama lainnya.”
(Al-Istiqaamah (ii/255)

Bersahabat kerana Allah akan mampu membina satu kekuatan iman yang tinggi disamping sebuah persahabatan yang disisipkan keikhlasan kerana Allah akan mampu membuat para Nabi dan syuhada begitu ‘cemburu’ dengan persahabatan mereka. Masakan tidak, Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam telah menuturkan satu hadith qudsi:

قال الله عز وجل المتحابون في جلالي لهم منابر من نور بغبطهم النبيون والشهداء

Maksudnya: “Allah berkata: “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganku, bagi mereka mimbar-mimbar dari cahaya yang membuat cemburu para Nabi dan Syuhada.”

(Hadith shahih diriwayatkan oleh At-Tirmizi (2390) dan Ahmad (v/236-237), dari Mu’adz bin Jabal radiyallallahu’anhu)

Lalu, mengapa kita tidak mahu mengejar mimbar tersebut? Para Nabi dan Syuhada sangat cemburu dengan golongan seperti ini. Ya, bukan mudah untuk menjadi seperti golongan tersebut. Keikhlasan dalam persahabatan perlu ditanamkan dalam hati. Sikap istikomah perlu diterapkan agar suatu hari nanti, sahabat anda melakukan kesalahan, anda tidak meninggalkannya begitu sahaja, anda sanggup menasihatinya supaya kembali ke pangkal jalan, membantunya memahami sunnah para Rasul-Nya. Mencintainya kerana Allah dan membencinya kerana Allah.

Kecintaan itu perlu diungkapkan dan tidak perlu disimpan, bahkan sangat sunnah sekiranya seseorang yang sangat mencintai sahabatnya mengucapkan “uhibbukafillah, atau uhibbukifllah kepada sahabat yang dicintainya. Ingat, ucapan ini hanya untuk yang sesama jantina, jangan salah gunakan istilah ini dan seterusnya menjenamakan istilah ini dengan mengatakan kepada rakan yang bukan mahram. Nauzubillah, bertakwalah kepada Allah barangsiapa yang mempermainkan agama-Nya.

Sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam:

اذا احب احدكم اخاه فليعلمه انه يحببه

Maksudnya: “Jika salah seorang dari kamu mencintai saudaranya, hendaklah ia mengkhabarkan bahawa ia mencintainya kerana Allah.”

(HR Ahmad (iv/130 nombor 17171, Abu Dawud (5124), Al-Hakim (iv/171) dan Ibnu Hibban (569) dalam Al-Ihsan)

Dan orang yang diberikan ucapan tersebut, sunnahnya menjawab:

احبك الذي احببتني له

Maksudnya: “Semoga Allah mencintaimu kerana engkau mencintaiku kerana-Nya.”

Berkasih sayanglah kerana Allah, nascaya Allah akan mengasihani kamu, jalinkan persahabatan hanya kerana-Nya, ikhlaskan hati untuk bersahabat kerana-Nya kerana keikhlasan akan membuatkan hasil yang begitu lumayan kelak. Berhadiahlah, maka, perasaan kasih sayang itu akan timbul.

Rasulullah sallallahu’alaihi wa sallam bersabda:

تحادوا تحابوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi, nascaya kamu akan saling mencintai.”

(HR Bukhari dalam Adabul Mufrad (594) dan dihasankan oleh Al-Albani dalam shahih al-Jaami’ (3004))

Berikanlah hadiah kepada sahabat anda sekali sekala agar persahabatan itu bertambah subur. Jauhi daripada bersangka buruk dan saling bermusuhan kerana perbuatan tersebut hasil kerja syaitan yang ingin memecahbelahkan kesatuan yang telah kukuh itu.

Sekadar perkongsian, semoga bermanfaat, Barakallahufeekum.

No comments: