Sunday 4 August 2013

Coretan hati buat diri.

Banyak perkara yang berubah, sama ada fizikal mahupun kematangan dalam berfikir. Duduk di Ipg ini banyak membentuk diri, daripada seorang yang masih dengan dunia keanak-anakan kepada dunia yang lebih mementingkan tanggungjawab dan disiplin. 

Dunia sebagai bakal pendidik terlalu mencabar, walau dihidangkan dengan elaun yang agak lumayan, namun, belum tentu mampu dibayar dengan sedikitnya ilmu yang dikutip. Berdepan dengan ramai pensyarah yang hebat dan berpengalaman, bertemu juga dengan ramai rakan-rakan yang manis dengan senyuman, dunia menjadi segar semula.

IPG dan dunia Hogwart tidak banyak berbeza. Barangkali, 5 tahun setengah bertemu, pasti muka yang sama, masih ku ingat rakan-rakan yang masuk dahulu, ada sahaja perubahan dalam diri mereka, mungkin juga aku tidak terlepas darinya. Kehidupan senior banyak membantu diri menyesuaikan diri, kini, mereka semakin hilang dalam pandangan mata, muncul pula generasi baru dan aku hanya mewarisi apa yang telah mereka lakukan.

Walau majorku Pendidikan Islam, aku juga belajar subjek lain, seolah, aku berpeluang belajar kesemua subjek walau tidak mendalam. Aku belajar bersukan, aku belajar juga Bahasa Inggeris, aku belajar Bahasa Arab dan aku belajar Matematik, aku belajar seni. Namun, ilmu yang basic itu aku hadam juga walaupun aku sebenarnya tidak suka ilmu kira-kira.

Perjalanan itu masih panjang, jauh untuk menunggu perhentian seterusnya. Aku cuma berteduh di hentian yang sementara, masa depanku belum terjamin, namun, aku bahagia duduk di Ipg Kpi. Banyak ilmu dan didikan yang ku timba. Walau aku tidak mampu menjadi pendidik yang berguna, aku berharap, aku terus menjadi penuntut ilmu yang baik.

Kini, generasi baru sedang berhadapan dengan perkara yang sama, menyesuaikan diri dalam keadaan tercari-cari identiti diri. Namun, aku harapkan, ada pelangi yang tersimpan buat mereka walau jauh dari orang tua.


-coretan ustaz izwan

No comments: