Saturday 11 January 2014

ADAB KEPADA HAIWAN

Islam mendidik umatnya agar berbuat ihsan kepada haiwan dengan memberikan perhatian kepada usaha menjaga kebajikan mereka. Inilah di antara salah satu daripada ciri-ciri keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam yang sering diabaikan oleh ramai penganutnya. Dukacita, kaum bukan Islam dilihat lebih memberi perhatian kepada usaha ini berbanding kita umat Islam. Lihat sahaja rancangan-rancangan dokumentari tentang penjagaan haiwan yang disiarkan di beberapa saluran televisyen tempatan, hampir kesemuanya dikelola oleh golongan bukan Islam. Tidakkah kita merasa malu pada mereka?

Mengapa kita perlu berbuat baik kepada haiwan?


Terdapat beberapa sebab mengapa kita perlu berbuat baik kepada haiwan, di antaranya:


Pertama: Haiwan banyak berbakti kepada manusia.


Peranan dan sumbangan haiwan dalam kehidupan manusia adalah suatu yang tidak dapat disangkal lagi. Selain menjadi salah satu sumber makanan yang penting kepada manusia, haiwan juga berperanan membantu manusia dalam menjalani aktiviti harian mereka. Sebagai contoh, kuda dijadikan sebagai alat tunggangan yang digunakan oleh manusia bagi memudahkan pergerakan mereka dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Sementara itu, lembu digunakan dalam bidang pertanian untuk memudahkan kerja-kerja pembajakan tanah. Dalam aspek keselamatan pula, anjing digunakan untuk mengesan barangan berbahaya seumpama dadah dan juga para penjenayah. Tidak kurang juga ada dalam kalangan manusia yang menjadikan anjing sebagai alat untuk memburu binatang. Semua ini menjadi petunjuk bahawa haiwan juga memberi sumbangan yang begitu besar kepada kehidupan manusia, justeru sumbangan ini amatlah wajar dibalas dengan berlaku ihsan terhadap mereka.


Kedua: Haiwan termasuk makhluk yang bertasbih   dan bersujud kepada Allah.


Di dalam al-Qur’an al-Karim, Allah menjelaskan kepada kita bahawa segala sesuatu yang diciptakan-Nya, baik yang berada di langit mahupun yang berada di bumi, kesemuanya bertasbih kepada-Nya. Ini termasuklah segala haiwan yang wujud di alam ini, baik yang berada di daratan, di lautan mahupun yang terbang di udara. Perhatikan firman-Nya:

  
Maksudnya: “Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Isra’, ayat 4).


Al-Hafiz Ibnu Katsir ketika menerangkan maksud ayat di atas berkata: Maksudnya; “Dan firman-Nya “Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya”, maksudnya tidak ada satu pun makhluk melainkan bertasbih seraya memuji Allah. (Dan firman-Nya) “Tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka”, maksudnya kamu wahai sekalian manusia tidak memahami tasbih mereka, kerana ia mempunyai bahasa yang berbeza dengan bahasa kamu. Hal itu bersifat umum, berlaku pada haiwan, benda-benda dan juga tumbuh-tumbuhan.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir, 5/251).


Bahkan, haiwan juga adalah makhluk yang bersujud kepada-Nya. Firman-Nya:


Maksudnya: “Dan bagi Allah jualah tunduk apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari mahluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedang mereka tidak berlaku sombong lagi takbur (dari beribadat dan sujud kepada-Nya).” (Surah An-Nahl, ayat 49).


Ketiga: Haiwan mendoakan kebaikan ke atas manusia.


Sabda Rasulullah:


إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِيْنَ – حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا، وَ حَتَّى الْحُوْتَ -  لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ. 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah, malaikat-malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi, bahkan semut di liangnya, sehingga ikan besar (di lautan) semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan dinyatakan hasan lighairihi oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib wa At-Tarhib, no: 81).


Dalam lafaz yang lain:


مُعَلِّمُ الْخَيْرِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ كُلُّ شَيْءٍ، حَتَّى الْحِيْتَانُ فِيْ الْبَحْرِ. 

Maksudnya: “Segala sesuatu sampai ikan besar di laut memohonkan keampunan untuk orang yang mengajarkan kebaikan.” (Hadis riwayat Al-Bazzar dan dinyatakan shahih lighairihi oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib wa At-Tarhib, no: 82).


Keempat: Perintah Rasulullah agar manusia berbuat ihsan kepada haiwan.


Sekali pun Islam menghalalkan umatnya untuk memakan sebahagian besar haiwan yang wujud di alam ini, namun Islam tetap memerintahkan umatnya agar tetap berlaku ihsan kepada mereka. Perhatikan hadis Rasulullah berikut:


إِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوْا الْقِتْلَهُ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوْا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيْحَتَهُ. 

Maksudnya: “Apabila kalian hendak membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang terbaik. Apabila kalian menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik, iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah membuat haiwan sembelihanmu nyaman.” (Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no: 1955).


Al-Imam Al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadis di atas: “Salah satu bentuk kebaikan dalam membunuh orang muslim ketika menegakkan hukum qishah adalah mencari alat yang tajam dan jangan menggunakan alat yang tumpul. Demikian pula hendaknya menajamkan pisau ketika menyembelih haiwan korban dan membuat nyaman haiwan yang hendak disembelih. Tidak memotong sebahagian badannya sebelum haiwan itu mati. Tidak boleh menajamkan (mengasah) pisau di hadapannya. Hendaknya memberikan air minuman kepadanya sebelum menyembelihnya. Tidak menyembelih haiwan yang banyak susunya dan tidak juga yang mempunyai anak sampai anaknya tidak memerlukan susunya lagi. Tidak menyembelihnya di hadapan binatang yang lain.” (Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyyah karya Imam Al-Nawawi, perbahasan hadis no: 17).


Sabda Rasulullah:


مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُوْرًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِهِ حَقِّهَا إِلَّا سَأَلَهُ اللهُ عَزَّ وَ جَلَّ عَنْهَا. قِيْلَ: يَارَسُوْلَ اللهِ وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا، وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا. 

Maksudnya: “Tiada seorang pun yang membunuh seekor burung dan lain sebagainya tanpa memenuhi haknya, kecuali Allah ‘Azza wa Jalla akan bertanya kepadanya (pada Hari Kiamat) kelak.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apakah haknya?”. Rasulullah menjawab: “Dia menyembelihnya lalu memakannya, tidak memotong kepalanya lalu membuangnya.” (Hadis riwayat An-Nasa’i dalam Sunan An-Nasa’i, no: 4354).


Hadis di atas menjelaskan tentang larangan Rasulullah kepada umat Islam daripada membunuh haiwan yang halal dimakan, namun tidak memakan haiwan tersebut melainkan bertujuan untuk menyeksanya semata-mata. Perbuatan ini termasuk salah satu bentuk kezaliman terhadap makhluk Allah yang pasti akan ditanya pada hari kiamat kelak. Lain-lain adab yang digariskan oleh Rasulullah apabila berinteraksi dengan haiwan adalah:


1)  Tidak memukul muka haiwan. Jabir meriwayatkan dengan katanya:


نَهَى رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ عَنِ      الضَّرْبِ فِيْ الْوَجْهِ، وَ عَنِ الْوَسْمِ فِيْ الْوَجِهِ. 

Maksudnya: “Rasulullah melarang daripada memukul pada wajah binatang dan daripada memberi tanda pada wajahnya (dengan api).” (Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no: 2116).

2) Tidak mencaci haiwan. Pernah suatu ketika Rasulullah melihat seorang lelaki sedang mencaci untanya, lantas baginda berkata kepada lelaki tersebut:


أَخِّرْهَا فَقَدْ أُجِبْتَ فِيْهَا. 

Maksudnya: “Jauhkan ia, kerana cacianmu terhadap unta itu akan dikabulkan.” (Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 2/428).


3) Memberikan haiwan makanan yang baik. Sabdanya:


اتَّقُوْا اللهَ فِيْ هَذِهِ الْبَهَائِمِ الْمُعْجَمَةِ فَارْكَبُوْهَا صَالِحَةً وَكُلُوْهَا صَالِحَةً. 

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah ia dengan baik dan berilah ia makan dengan baik.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dinyatakan sahih oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadith Ash-Shahihah, no: 23).


4) Menunggang haiwan dalam keadaan sihat, bukan dalam keadaan sakit. Sabda Rasulullah:


اِرْكَبُوْهَا سَالِمَةً، وَدَعُوْهَا سَالِمَةً، وَلَا تَتَّخِذُوْهَا كَرَاسِيَّ لأَحَادِيْثِكُمْ فِيْ الطُّرُقِ وَا لأَسْوَاقِ، فَرُبَّ مَرْكُوْبَةٍ خَيْرٌ مِنْ رَاكِبِهَا، وَأَكْثَرُ ذِكْراً اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى مِنْهُ. 

Maksudnya: “Kenderailah (haiwan) dalam keadaan sihat dan lepaskanlah (ia) dalamkeadaan sihat dan jangan jadikan ia sebagai kerusi ketika kalian berbual di jalan-jalan atau di pasar-pasar. Ini kerana berapa banyak haiwan tunggangan lebih baik dan lebih banyak mengingati Allah Tabaraka wa Ta’ala daripada orang yang mengenderainya.” (Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 3/439 dengan sanad yang hasan sebagaimana jelas Al-Haitsami dalam Mujma’ Az-Zawaid, no: 17156).


Kelima: Haiwan menjadi penyebab manusia meraih ganjaran pahala yang banyak.


Para sahabat pernah mengajukan sebuah pertanyaan kepada Rasulullah:


يَا رَسُوْلَ اللهِ وَإِنَّ لَنَا فِيْ الْبَهَائِمِ أَجْرًا؟ فَقَالَ: نَعَمْ فِيْ كُلِّ ذَاتِ كَبَدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ. 

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan mendapat pahala jika berbuat baik kepada haiwan?”. Rasulullah menjawab: “Ya, (berbuat baik) kepada semua makhluk bernyawa akan mendapatkan pahala.” (Hadis riwayat Al-Bukhari, dalam Shahih Al-Bukhari, no: 6009).


Sabda Rasulullah:


مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ، أَوْ إِنْسَانٌ، أَوْ بَهِيْمَةٌ، إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ. 

Maksudnya: “Tidaklah seorang muslim menabur benih atau menanam sesuatu, lalu dimakan oleh burung, manusia atau binatang lainnya, maka semua itu dihitung sebagai sedekah baginya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dalam Shahih Al-Bukhari, no: 2320).


Keenam: Haiwan menjadi penyebab seseorang menjadi ahli Syurga atau Neraka.


Tahukah anda haiwan juga berperanan dalam menentukan kedudukan kita di sisi Allah? Banyak hadis atau riwayat yang menjelaskan haiwan juga memiliki pengaruh dalam menentukan kedudukan seseorang hamba, apakah dia layak menjadi salah seorang penghuni Syurga ataukah ahli Neraka. Perhatikan hadis-hadis berikut:


عُذِّبَتْ امْرَأَةٌ فِيْ هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ، فَدَخَلَتْ فِيْهَا النَّارَ: لَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا، وَلَا هِيَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ. 

Maksudnya: “Seorang perempuan diazab lantaran seekor kucing yang dia kurung sampai mati, maka dia pun disumbatkan ke   dalam Neraka. Perempuan tersebut tidak memberi makan dan minuman kepada kucing itu sewaktu mengurungnya. Dia juga tidak membiarkan kucing itu memakan serangga tanah.” (Hadis riwayat Muslim dalam Shahih Muslim, no: 2242).


Dalam hadis yang lain disebutkan:


بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيْفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ فَنَزَعَتْ مُوْقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفْرَلَهَا بِهِ. 

Maksudnya: “Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana kehausan, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya (untuk dijadikan sebagai tempat menadah air) dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dalam Shahih Al-Bukhari, no: 3467).


Memadai dua hadis di atas menjadi sumber peringatan kepada kita semua. Justeru, hendaklah kita sentiasa memerhatikan adab-adab kita terhadap haiwan dengan sentiasa menjaga kebajikan mereka. Mudah-mudahan dengan keperihatinan kita terhadap kebajikan haiwan, Allah memasukkan kita ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang soleh dan solehah.

No comments: