Friday 10 January 2014

Prinsip Salaf Tidak Mencanang Kesalahan Pemerintah!

Prinsip Salaf Tidak Mencanang Kesalahan Pemerintah!



Fatwa Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz rahimahullah (Pengerusi Hai’ah Kibar Ulama dan Mufti Am Arab Saudi pada masanya).

Beliau berkata:

ليس من منهج السلف التشهير بعيوب الولاة وذكر ذلك على المنابر؛ لأن ذلك يفضي إلى الفوضى، وعدم السمع والطاعة في المعروف، ويفضي إلى الخوض الذي يضر ولا ينفع، ولكن الطريقة المتبعة عند السلف: النصيحة فيما بينهم وبين السلطان، والكتابة إليه، أو الاتصال بالعلماء الذين يتصلون به حتى يوجه إلى الخير، وإنكار المنكر يكون من دون ذكر من فعله، ويكفي إنكار المعاصي والتحذير منها من غير ذكر أن فلانًا يفعلها لا حاكم ولا غير حاكم، ولما وقعت الفتنة في عهد عثمان؟ قال: أنكر عليه عند الناس؟ لا أفتح باب شر على الناس، ولما فتحوا الشر في زمن عثمان  وأنكروا عليه جهرة تمت الفتنة والقتال والفساد الذي لا يزال الناس في آثاره إلى اليوم، حتى حصلت الفتنة بين علي ومعاوية، وقتل عثمان وعلي بأسباب ذلك، وقتل جم كثير من الصحابة وغيرهم بأسباب الإنكار العلني وذكر العيوب علنًا، حتى أبغض الناس ولي أمرهم وحتى قتلوه

“Bukan dari manhaj (prinsip) salaf menyebarkan ‘aib para pemimpin dan menghebahkannya di atas mimbar-mimbar kerana ia akan membawa kepada kekacauan, perintahnya tidak didengar dan ditaati dalam perkara yang ma’ruf serta membawa kepada kemudharatan dan tidak bermanfaat sama sekali. Adapun kaedah yang dilakukan para ulama salaf adalah:

1.         Menasihati pemerintah secara rahsia (empat mata),

2.         Menulis surat kepadanya, atau

3.         Menghubungi ulama yang dekat atau rapat (ada kedudukan) di sisi pemerintah supaya mereka dapat membimbingnya ke arah kebaikan.

Mencegah kemungkaran adalah dengan tidak menyebut nama si pelaku, memadai dengan menegur maksiat yang dilakukan serta memberi amaran dengan ancaman yang benar, tidak perlu mengisyaratkan siapa si pelaku maksiat. Cara begini dilakukan kepada semua orang tanpa mengira sama ada si pelaku adalah dari kalangan pemimpin atau orang awam.

Ketika ditanya berkaitan fitnah di zaman ‘Utsman, beliau menjawab:

(Utsman sendiri berkata), “Aku menafikan fitnah yang berlaku ini adalah dari kalangan rakyat, aku tidak mahu membuka pintu kejahatan terhadap rakyat.”

Namun, apabila masyarakat membuka pintu kejahatan (fitnah) di zaman beliau dan mereka menentangnya secara terbuka, maka berlakulah fitnah, pembunuhan, serta kerosakkan yang mana sehingga sekarang masyarakat Islam masih merasai kesannya, bahkan setelah itu, berlaku pula fitnah di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah. Pembunuhan Utsman dan ‘Ali adalah rentetan dari fitnah tersebut. Begitu juga pembunuhan sebahagian besar dari kalangan sahabat dan yang lainnya. Yang merupakan dengan sebab mengingkari dan membuka keaiban pemerintah di khalayak umum sehingga masyarakat di ketika itu membenci pemimpin dan membunuh mereka.” (Lihat: ‘Abdus Salam Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, m/s. 57-58. Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 210-211)

Fatwa al-‘Allamah al-faqih Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah.

Beliau berkata:

“Nasihat untuk para pemerintah (umara’) dilaksanakan dengan cara:

1 – Meyakini dan mengiktiraf kepimpinannya serta kedudukan mereka. Sesiapa yang tidak meyakininya, bererti ia tidak termasuk orang-orang yang menasihati mereka. Dengan tidak meyakininya, ia tidak akan melakukan perintah daripada mereka dan tidak pula menghentikan larangannya. Maka yang pertama, kita perlu mengiktirafnya sebagai imam atau amir (pemimpin). Sesiapa yang meninggal dunia tetapi tidak memiliki bai’at (ketaatan) kepada pemimpin, maka ia mati dalam keadaan jahiliyah. Dan sesiapa sahaja yang mentadbir atau menguruskan hal-ehwal umat Islam, walaupun ia naik dengan cara pemberontakkan, maka bererti ia adalah seorang pemimpin, sama ada dari bangsa Quraisy mahu pun selainnya.

2 – Menyebarkan kebaikan mereka kepada rakyat, kerana perkara tersebut akan menambahkan rasa cinta rakyat terhadapnya, dan sekiranya rakyat mencintainya maka mereka akan lebih mudah untuk diatur dan mengikuti perintahnya.

Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh sebahagian pihak yang dengan mudah menyebarkan keburukan-keburukan mereka dan menyembunyikan pelbagai kebaikannya. Ini adalah perbuatan yang zalim dan tidak amanah (tidak bertanggungjawab) di mana mereka menyebarkan satu keburukan tetapi melupakan kebaikan yang telah mereka laksanakan. Perkara tersebut jelas tidak bertanggungjawab.

Melaksanakan perintah dan menjauhi apa yang mereka larang, melainkan apa yang mereka perintahkan tersebut merupakan maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla, kerana tiada ketaatan kepada makhluk dalam soal maksiat kepada al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta). Melaksanakan perintah mereka bukan bererti kita sedang bermain dengan politik, tetapi kita katakan bahawa perkara tersebut termasuk ibadah, dengan dalil bahawa Allah ‘Azza wa Jalla yang telah memerintahkan kita dengan firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)

Allah menjadikan ketaatan kepada mereka (pemimpin) termasuk di antara ketaatan kepada-Nya dan apa yang diperintahkan Allah adalah merupakan ibadah.

Dalam urusan mentaati mereka (pemimpin) tidak disyaratkan bahawa pemimpin tersebut mestilah yang suci dari maksiat kepada Allah. Taatilah perintah mereka (selagi mana yang bukan maksiat), walaupun mereka (pemimpin) bermaksiat kepada-Nya, kerana kamu hanya diperintahkan mentaatinya (dalam urusan yang tidak bertentangan dengan agama), walaupun mereka sendiri melakukan maksiat kepada Allah.

4 – Menutup ‘aib-‘aib mereka (tidak menyebarkannya) dengan sedaya-upaya. Alasannya adalah sekiranya ‘aib mereka anda sebarkan, maka ia bukanlah termasuk bentuk-bentuk nasihat, dan perkara tersebut hanya akan mengakibatkan hati (seluruh rakyat) diselubungi kebencian, kedengkian, dan kemarahan terhadap para pemimpin, dan jika perasaan seluruh rakyat penuh dengan sifat tersebut, maka akan muncul pula pembangkangan (protes) terhadap pemimpin yang akhirnya akan menimbulkan keburukan dan kefasadan (kejahatan) yang hanya Allah mengetahuinya.

Menutupi ‘aib mereka bukanlah bermaksud kita membiarkan ia begitu sahaja, tetapi kita wajib menasihati pemimpin secara langsung (sekiranya mampu) atau melalui perantara para ulama atau sesiapa sahaja yang memiliki kedudukan. Berkaitan dengan ini, Usamah B. Zaid radhiyallahu ‘anhu mengingkari ucapan suatu kaum yang mengatakan, “Kamu belum melakukan apa pun dan belum menasihati khalifah (pemimpin).”

Kemudian beliau menjawab, “Adakah kamu mahu aku menceritakan kepada kamu setiap apa yang aku perkatakan kepada khalifah?” Sudah tentu ia tidak perlu.

Maka termasuk perbuatan yang bijak, sekiranya kamu menasihati pemimpin dan kamu tidak menceritakan kepada sesiapa pun kerana perkara tersebut hanya akan menimbulkan keburukan yang dahsyat.

5 – Tidak melakukan pemberontakkan dan penentangan (gerakkan membangkang) terhadap mereka. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak memberikan keringanan melakukan pembangkangan, melainkan sebagaimana yang beliau katakan:

“Kamu melihat ia melakukan kekufuran yang nyata, di mana kamu memiliki keterangan yang nyata daripada Allah dalam perkara tersebut.” Iaitu dengan dalil yang jelas lagi pasti.

Kemudian, jika perkara tersebut adalah jelas dengan syarat tersebut, adakah bererti kita boleh terus memberontak begitu sahaja? Kerana di sana terdapat perbezaan dalam perkara ini.

Dan jawabnya:

Kita tidak dibolehkan terus sahaja dengan serta-merta memberontak, walaupun telah jelas darinya kekufuran yang padanya memiliki dalil daripada Allah (yang boleh dipertanggungjawabkan) melainkan sekiranya telah jelas padanya memiliki kemaslahatan (kemampuan dan keupayaan). Tidak termasuk kemaslahatan jika hanya kelompok yang kecil dengan senjata yang tidak seberapa untuk menghadapi sebuah kuasa negara yang lengkap dengan bala tentera dan persenjataannya. Ini kerana ia hanya akan mengakibatkan pertumpahan darah dan menghalalkan yang haram (membunuh jiwa yang tidak berdosa), tanpa mendatangkan hasil. Padahal pada awalnya, mereka menghendaki keburukan penguasa diubah, sebagaimana pemberontakkan yang dilakukan kaum khawarij di zaman Khulafa’ur Rasyidin radhiyallahu ‘anhum. Sehingga zaman ini. Di mana yang terhasil hanyalah keburukan dan kehancuran yang tidak diketahui seorang pun melainkan oleh Allah, Tuhan para makhluk.

Namun, sebahagian pihak tetap menyalakan api kebencian di hati-hati mereka, kemudian mereka melakukan pelbagai jenis aksi atau tindakkan yang buruk hasilnya. Ini adalah kesalahan yang besar.

Lalu kita bertanya, sekiranya demikian, apa ukuran kekufuran kerana sebahagian kelompok menganggap kafir tetapi sebahagian yang lainnya tidak?

Jawabnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberikan peringatan yang penting dalam perkataannya, iaitu Kuffran Bawaahan (kekufuran yang jelas nyata) yang tidak lagi dapat ditakwil dengan maksud yang lain, seperti contohnya kamu melihat mereka sujud kepada patung, mendengar secara langsung dia mencela Allah atau Rasul-Nya atau yang seumpamanya (walaupun hujjah telah ditegakkan - pent.).” (Rujuk: Syaikh Ibn ‘Utsaimin, Syarah al-Arba’in an-Nawawiyyah, hadis no. 7, dari website beliau: http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17802.shtml)

No comments: